Sunday, November 22, 2009

Fikiran Positif

Pernahkah fikiran anda diganggu oleh pengaruh-pengaruh luar? Pengaruh luar yang remeh-temeh? Perkara yang
remeh-temeh jika dibiarkan boleh menpengaruhi sebahagian besar hidup kita. Jangan membiarkan perkara yang tidak penting mengganggu kita. Berlatihlah berfikir secara matang dan positif dalam apa juga tindakan.

Kedamaian fikiran seseorang boleh membantu seseorang mematangkan fikiran mereka. Lupakan kisah silam yang mengganggu fikiran kita dan menggantikan dengan fikiran positif. Tetapkan matlamat yang diinginkan. Jika kita, masih diganggu oleh fikiran yang negatif, tanyalah pada diri sendiri. "Adakah perkara itu penting?" Jika jawabnya tidak, lupakan sahaja.

Bebaskan diri daripada fikiran negatif jika ingin menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Seseorang yang berjaya dalam hidupnya harus mengetahui tujuan hidupnya, harus benar-benar menguasai fikirannya sendiri, tentang siapa dirinya yang sebenar. Kesedaran fikiran positif akan menjadikan seseorang itu bertindak secara cepat dan berkesan dalam apa jua yang ingin dilaksanakan.

Pemikiran negatif boleh mendatang masalah kepada diri sendiri dan juga orang sekeliling. Pertengkaran berlaku hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh. Fikiran negatif juga boleh menghancurkan kerjaya dan melemahkan semangat seseorang.

Pemikiran positif pula tidak akan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya, tetapi mereka menjadikan kekurangan diri sebagai pembakar semangat. Orang yang berfikiran positif mempunyai pandangan yang luas, menghindari hal yang remeh-temeh dan hanya pusatkan perhatian pada perkara-perkara yang besar.

Setiap orang boleh melatih dan mengubah fikiran menjadi positif. Mulailah hari-hari anda dengan fikiran positif.




Wednesday, November 18, 2009

Gunung Kehidupan

Penghujung tahun makin hampir. Bagi yang bekerja, inilah masa yang sesuai untuk menghabiskan cuti tahunan. Ada yang merancang untuk bercuti di pulau peranginan dan ada juga yang ingin mendaki gunung. Bila menyebut pasal mendaki gunung, peserta mesti betul-betul bersedia dari segi fizikal dan juga mental agar impian tidak tergendala sebelum tiba di puncak gunung.

Mendaki gunung lebih kurang sama dengan mendaki gunung kehidupan. Gunung kehidupan, umpama kehidupan seseorang yang terpaksa menempuh ranjau suka dan duka sebelum tercapainya matlamat. Anggota luaran dan dalaman yang bersepadu boleh menjadikan hidup kita seimbang dan membantu kita mencapai matlamat. Hidup yang seimbang menjadikan seseorang bersemangat tinggi, tidak mudah kalah pada gangguan syaitan dan nafsu. Begitu juga, mereka yang jujur pada diri sendiri, hati yang baik boleh memandu arah tuju matlamat kehidupan. Sebaliknya, bagi yang hilang pertimbangan, mereka cenderung untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang seperti membunuh diri, putus asa, memakan benda-benda yang memabukkan, mengkhayalkan, mencederakan orang dan merosakkan harta benda. Jadi, tidak hairanlah jika sejak kebelakangan ini, kita sering didelahkan dengan pelbagai peristiwa menyayat hati, seperti kes bunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.

Awas! penyakit hilang pertimbangan adalah penyakit yang merbahaya dan penghalang anda dalam mendaki gunung kehidupan.

Sunday, November 1, 2009

Indahnya Rindu

Ketika aku sedang asyik mendengar lagu di radio, tiba-tiba fikiranku teringat akan satu ungkapan " Jauh Di Mata Dekat Di Hati". Mungkin juga lagu yang sedang berkumandang itu mempengaruhi fikiranku.

Kepada sesiapa sahaja yang berjauhan dengan ahli keluarga atau orang tersayang, mereka akan merasakan keluarga atau orang tersayang itu hanya jauh di mata tetapi dekat di hati. Satu perasaan aneh pasti menjelma. Rindu bersarang di hati. Sayu menjelma di jiwa. Namun, kata-kata semangat yang diberikan mereka tidak pernah pudar. Malahan mereka bagaikan sentiasa menemani kita setiap langkah. Kita akan berasa senang dengan perasaan ini - satu keindahan tersendiri dalam kehidupan.

Perasaan begini adalah dorongan kepada kita. Perasaan yang lahir dari hati yang murni. Perasaan yang tidak dapat dirampas atau dicemburui oleh sesiapa. Perasaan yang lahir dari hati ke hati yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Perasaan sebegini boleh meningkatkan semangat seseorang untuk menempuhi kehidupan harian, bekerja mahupun belajar.