Saturday, January 23, 2010

Bunga Buat Sahabat

Siang, petang dan malam, hatiku merintih sendirian ketika dulu. Aku tarik nafas panjang-panjang untuk melegakannya. Sering aku bertanya di manakah kau sahabat?. Kaulah satu-satunya sahabat antara sahabat yang paling ku rapat.


Suatu hari badai melanda, aku tidak dapat lari dari ketentuan yang diperuntukan buatku untuk berpisah dengan sahabat kesayanganku. Huh! mula-mula memang aku sebak menahan keperitan sebegini tetapi lama kelamaan aku dapat menerima keadaan itu dengan reda. Setiap kali aku mengenangkannya akan aku tatap sisa gambar yang masih dalam simpananku.


Kini dengan ketentuan yang diperuntukan buatku juga aku telah dipertemukan semula dengannya. Masa telah mematangkan aku. Kini aku lebih memahami erti sebuah kehidupan dalam dunia sahabat. Kegembiraan yang ada pada hari ini dan hari-hari seterusnya adalah untuk dikongsi bersama kerana kaulah sahabatku.









Sunday, January 3, 2010

Andai Itu Hakikatnya

Berlatihlah menerima sesuatu kenyataan walaupun ia sukar diterima. Kenyataan tetap kenyataan dan sememangnya ia tidak dapat diubah dan yang boleh diubah hanyalah perasaan kita terhadap sesuatu kenyataan tersebut.

Sunday, December 27, 2009

Penyakit Normal

Sesuatu perkara yang ingin dilupakan, itulah yang terus segar di ingatan. Perkara yang ingin dikekalkan diingatan, itulah yang sering lenyap dari ingatan.

Pernahkan anda berada di dalam situasi tersebut? Ini merupakan penyakit normal yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja. Janganlah kita memaksa diri kita melupakan perkara yang tidak dapat dilupakan kerana ia akan menambahkan sengsara di hati. Jadikanlah ia sebagai pengajaran untuk meniti hari-hari seterusnya.

Saturday, December 19, 2009

Memori Indah

Pejabat bukan sahaja tempat untuk kita bekerja mengikut apa yang tertulis di dalam 'work instruction" tetapi tempat untuk kita melakukan aktiviti berfaedah bersama rakan-rakan.

Sekolah atau Universiti bukan sahaja tempat untuk kita belajar atau mengajar mengikut apa yang dijadualkan sahaja tetapi tempat untuk kita melakukan aktiviti berfaedah bersama pelajar dan juga pengajar.

Memori indah yang akan kekal bersama kita di masa hadapan adalah memori indah bersama rakan-rakan pejabat, pelajar dan pengajar.

Saturday, December 12, 2009

Hargailah Apa Yang Dimiliki

Kegembiraan seseorang akan hilang secara beransur-ansur jika seseorang itu mula mengabaikan atau kurang menghargai apa yang dimilikinya, sebaliknya asyik memikirkan apa yang belum dimilikinya dan tidak akan dimilikinya.

Fikir-fikirkan.

Sunday, November 22, 2009

Fikiran Positif

Pernahkah fikiran anda diganggu oleh pengaruh-pengaruh luar? Pengaruh luar yang remeh-temeh? Perkara yang
remeh-temeh jika dibiarkan boleh menpengaruhi sebahagian besar hidup kita. Jangan membiarkan perkara yang tidak penting mengganggu kita. Berlatihlah berfikir secara matang dan positif dalam apa juga tindakan.

Kedamaian fikiran seseorang boleh membantu seseorang mematangkan fikiran mereka. Lupakan kisah silam yang mengganggu fikiran kita dan menggantikan dengan fikiran positif. Tetapkan matlamat yang diinginkan. Jika kita, masih diganggu oleh fikiran yang negatif, tanyalah pada diri sendiri. "Adakah perkara itu penting?" Jika jawabnya tidak, lupakan sahaja.

Bebaskan diri daripada fikiran negatif jika ingin menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Seseorang yang berjaya dalam hidupnya harus mengetahui tujuan hidupnya, harus benar-benar menguasai fikirannya sendiri, tentang siapa dirinya yang sebenar. Kesedaran fikiran positif akan menjadikan seseorang itu bertindak secara cepat dan berkesan dalam apa jua yang ingin dilaksanakan.

Pemikiran negatif boleh mendatang masalah kepada diri sendiri dan juga orang sekeliling. Pertengkaran berlaku hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh. Fikiran negatif juga boleh menghancurkan kerjaya dan melemahkan semangat seseorang.

Pemikiran positif pula tidak akan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya, tetapi mereka menjadikan kekurangan diri sebagai pembakar semangat. Orang yang berfikiran positif mempunyai pandangan yang luas, menghindari hal yang remeh-temeh dan hanya pusatkan perhatian pada perkara-perkara yang besar.

Setiap orang boleh melatih dan mengubah fikiran menjadi positif. Mulailah hari-hari anda dengan fikiran positif.




Wednesday, November 18, 2009

Gunung Kehidupan

Penghujung tahun makin hampir. Bagi yang bekerja, inilah masa yang sesuai untuk menghabiskan cuti tahunan. Ada yang merancang untuk bercuti di pulau peranginan dan ada juga yang ingin mendaki gunung. Bila menyebut pasal mendaki gunung, peserta mesti betul-betul bersedia dari segi fizikal dan juga mental agar impian tidak tergendala sebelum tiba di puncak gunung.

Mendaki gunung lebih kurang sama dengan mendaki gunung kehidupan. Gunung kehidupan, umpama kehidupan seseorang yang terpaksa menempuh ranjau suka dan duka sebelum tercapainya matlamat. Anggota luaran dan dalaman yang bersepadu boleh menjadikan hidup kita seimbang dan membantu kita mencapai matlamat. Hidup yang seimbang menjadikan seseorang bersemangat tinggi, tidak mudah kalah pada gangguan syaitan dan nafsu. Begitu juga, mereka yang jujur pada diri sendiri, hati yang baik boleh memandu arah tuju matlamat kehidupan. Sebaliknya, bagi yang hilang pertimbangan, mereka cenderung untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang seperti membunuh diri, putus asa, memakan benda-benda yang memabukkan, mengkhayalkan, mencederakan orang dan merosakkan harta benda. Jadi, tidak hairanlah jika sejak kebelakangan ini, kita sering didelahkan dengan pelbagai peristiwa menyayat hati, seperti kes bunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.

Awas! penyakit hilang pertimbangan adalah penyakit yang merbahaya dan penghalang anda dalam mendaki gunung kehidupan.