Sunday, December 27, 2009

Penyakit Normal

Sesuatu perkara yang ingin dilupakan, itulah yang terus segar di ingatan. Perkara yang ingin dikekalkan diingatan, itulah yang sering lenyap dari ingatan.

Pernahkan anda berada di dalam situasi tersebut? Ini merupakan penyakit normal yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja. Janganlah kita memaksa diri kita melupakan perkara yang tidak dapat dilupakan kerana ia akan menambahkan sengsara di hati. Jadikanlah ia sebagai pengajaran untuk meniti hari-hari seterusnya.

Saturday, December 19, 2009

Memori Indah

Pejabat bukan sahaja tempat untuk kita bekerja mengikut apa yang tertulis di dalam 'work instruction" tetapi tempat untuk kita melakukan aktiviti berfaedah bersama rakan-rakan.

Sekolah atau Universiti bukan sahaja tempat untuk kita belajar atau mengajar mengikut apa yang dijadualkan sahaja tetapi tempat untuk kita melakukan aktiviti berfaedah bersama pelajar dan juga pengajar.

Memori indah yang akan kekal bersama kita di masa hadapan adalah memori indah bersama rakan-rakan pejabat, pelajar dan pengajar.

Saturday, December 12, 2009

Hargailah Apa Yang Dimiliki

Kegembiraan seseorang akan hilang secara beransur-ansur jika seseorang itu mula mengabaikan atau kurang menghargai apa yang dimilikinya, sebaliknya asyik memikirkan apa yang belum dimilikinya dan tidak akan dimilikinya.

Fikir-fikirkan.

Sunday, November 22, 2009

Fikiran Positif

Pernahkah fikiran anda diganggu oleh pengaruh-pengaruh luar? Pengaruh luar yang remeh-temeh? Perkara yang
remeh-temeh jika dibiarkan boleh menpengaruhi sebahagian besar hidup kita. Jangan membiarkan perkara yang tidak penting mengganggu kita. Berlatihlah berfikir secara matang dan positif dalam apa juga tindakan.

Kedamaian fikiran seseorang boleh membantu seseorang mematangkan fikiran mereka. Lupakan kisah silam yang mengganggu fikiran kita dan menggantikan dengan fikiran positif. Tetapkan matlamat yang diinginkan. Jika kita, masih diganggu oleh fikiran yang negatif, tanyalah pada diri sendiri. "Adakah perkara itu penting?" Jika jawabnya tidak, lupakan sahaja.

Bebaskan diri daripada fikiran negatif jika ingin menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Seseorang yang berjaya dalam hidupnya harus mengetahui tujuan hidupnya, harus benar-benar menguasai fikirannya sendiri, tentang siapa dirinya yang sebenar. Kesedaran fikiran positif akan menjadikan seseorang itu bertindak secara cepat dan berkesan dalam apa jua yang ingin dilaksanakan.

Pemikiran negatif boleh mendatang masalah kepada diri sendiri dan juga orang sekeliling. Pertengkaran berlaku hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh. Fikiran negatif juga boleh menghancurkan kerjaya dan melemahkan semangat seseorang.

Pemikiran positif pula tidak akan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya, tetapi mereka menjadikan kekurangan diri sebagai pembakar semangat. Orang yang berfikiran positif mempunyai pandangan yang luas, menghindari hal yang remeh-temeh dan hanya pusatkan perhatian pada perkara-perkara yang besar.

Setiap orang boleh melatih dan mengubah fikiran menjadi positif. Mulailah hari-hari anda dengan fikiran positif.




Wednesday, November 18, 2009

Gunung Kehidupan

Penghujung tahun makin hampir. Bagi yang bekerja, inilah masa yang sesuai untuk menghabiskan cuti tahunan. Ada yang merancang untuk bercuti di pulau peranginan dan ada juga yang ingin mendaki gunung. Bila menyebut pasal mendaki gunung, peserta mesti betul-betul bersedia dari segi fizikal dan juga mental agar impian tidak tergendala sebelum tiba di puncak gunung.

Mendaki gunung lebih kurang sama dengan mendaki gunung kehidupan. Gunung kehidupan, umpama kehidupan seseorang yang terpaksa menempuh ranjau suka dan duka sebelum tercapainya matlamat. Anggota luaran dan dalaman yang bersepadu boleh menjadikan hidup kita seimbang dan membantu kita mencapai matlamat. Hidup yang seimbang menjadikan seseorang bersemangat tinggi, tidak mudah kalah pada gangguan syaitan dan nafsu. Begitu juga, mereka yang jujur pada diri sendiri, hati yang baik boleh memandu arah tuju matlamat kehidupan. Sebaliknya, bagi yang hilang pertimbangan, mereka cenderung untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang seperti membunuh diri, putus asa, memakan benda-benda yang memabukkan, mengkhayalkan, mencederakan orang dan merosakkan harta benda. Jadi, tidak hairanlah jika sejak kebelakangan ini, kita sering didelahkan dengan pelbagai peristiwa menyayat hati, seperti kes bunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.

Awas! penyakit hilang pertimbangan adalah penyakit yang merbahaya dan penghalang anda dalam mendaki gunung kehidupan.

Sunday, November 1, 2009

Indahnya Rindu

Ketika aku sedang asyik mendengar lagu di radio, tiba-tiba fikiranku teringat akan satu ungkapan " Jauh Di Mata Dekat Di Hati". Mungkin juga lagu yang sedang berkumandang itu mempengaruhi fikiranku.

Kepada sesiapa sahaja yang berjauhan dengan ahli keluarga atau orang tersayang, mereka akan merasakan keluarga atau orang tersayang itu hanya jauh di mata tetapi dekat di hati. Satu perasaan aneh pasti menjelma. Rindu bersarang di hati. Sayu menjelma di jiwa. Namun, kata-kata semangat yang diberikan mereka tidak pernah pudar. Malahan mereka bagaikan sentiasa menemani kita setiap langkah. Kita akan berasa senang dengan perasaan ini - satu keindahan tersendiri dalam kehidupan.

Perasaan begini adalah dorongan kepada kita. Perasaan yang lahir dari hati yang murni. Perasaan yang tidak dapat dirampas atau dicemburui oleh sesiapa. Perasaan yang lahir dari hati ke hati yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Perasaan sebegini boleh meningkatkan semangat seseorang untuk menempuhi kehidupan harian, bekerja mahupun belajar.

Friday, October 30, 2009

Kanak-Kanak Memang Nakal Dan Kreatif

Kanak-kanak memang terkenal dengan kekreatifan dan kenakalan masing-masing. Ketika aku singgah di salah sebuah kedai ikan hiasan pada minggu lepas, aku teringatkan tingkahlaku seorang budak di kampungku. Budak itu berminat untuk memelihara ikan tetapi tidak mampu membelinya kerana tidak mempunyai wang. Setiap hari ia akan ke rumah kawannya untuk melihat ikan akuarium. Suatu hari, ketika kawannya leka, dia telah mencuri seekor anak ikan dengan mengulum ikan tersebut sambil lari ke rumah. Aku tersenyum sendiri, bila mengingatinya kerana tidak dapat aku bayangkan jika ia tertelan anak ikan itu, sudah pasti ikan itu akan berenang dalam perutnya.
Suatu hari aku terserempak lagi dengan budak itu. Dia masuk ke kedai ikan dan melihat- lihat ikan kegemarannya dari satu akuarium ke satu akuarium. Aku memerhatikan gelagatnya di suatu sudut kedai. Kebetulan aku juga hendak melihat ikan kegemaranku - ikan emas.

"Adik, ikan itu mahal. Adik ada wang ke tidak?" kata tuan kedai.

"Ada," jawab budak itu.

Lalu ditunjukkan wang syiling dalam genggamannya.

Lima belas minit kemudian dia berjalan keluar dari kedai itu sambil tersenyum.

"Adik mengapa senyum?" soalku.

"Dah dapat ikan," jawabnya.

"Mana ikannya?" Aku memerhatikan beg plastik di tangannya.

Lalu ditunjukkannya beg plastik yang dipegangnya. Seekor anak ikan sebesar lidi tergedik-gedik ekor dibucu beg plastik. Entah boleh hidup atau menjadi "arwah" sebelum budak itu sampai ke rumah. Aku tersemyum padanya. Di dalam hatiku terfikir, sampai hati tuan kedai memberikan ikan sekecil itu kepada budak itu ... entah anak ikan ke anak berudu, aku tak pasti....



Sunday, October 25, 2009

Mencari Damai Di Kampung Halaman

Hari itu hari Sabtu, hari yang paling penat tapi menggembirakan - mengikut rombongan melawat kampung ke kampung sempena perayaan tahunan. Pada hari itu enam kampung aku lawati, bertolak dari rumah pukul lapan pagi sampai pukul enam petang. Setiap kali sampai kami akan disambut dengan pukulan gendang diikuti dengan majis makan-makan. Bayangkan kalau enam kampung aku lawati - memang aku kenyang betul pada hari itu.

Petang itu, aku cuba mencari damai dihati dengan menikmati udara nyaman dan pemandangan yang menghijau sambil ditemani kicauan burung - burung hutan. Udara yang segar dan pemandangan yang menghijau dapat menghilang stres setelah penat kerja di Kota.
Ini adalah cara aku menghilangkan stress...kalau anda bagaimana pula?

Saturday, October 24, 2009

Semerdu Muzik

Hari itu merupakan hari yang paling bermakna bagiku kerana berpeluang menonton Asia-Pacific Electone Festival 2009 dekat Istana Budaya. Suasana dewan penuh sesak, maklumlah pertandingan peringkat Asia- Pacific. Lima minit sebelum pertunjukan bermula..tiba-tiba terdengar kekecohan di penjuru dewan berhampiran tempat dudukku....dengan nada marah seorang pemuda berkata "kerusi ni patah macam mana nak duduk?' Nasib baik pergawai yang mengawasi suasana dapat menyelesaikan masalah sebelum muzik bermula...

Persembahan muzik bermula tepat pada masanya. Semua peserta nampak hebat dengan pakaian dan gaya rambut masing-masing. Semua penonton memberikan tepukan yang gemuruh.

Mereka betul-betul menghayati kemerduan muzik yang dialunkan..tetapi lain pula dengan aku kerana tidak tahu menghayati muzik. bagi aku, Setiap alunan yang kedengaran bunyinya sama aje. Berdasarkan pengamatan aku, setiap peserta mempersembahkan muzik dengan penuh perasaan - setiap gerak-geri dan mimik muka bagaikan bersatu dengan alunan muzik itu.
Thank You to Nong Rom and family for invited me to watch the show.










































Friday, October 23, 2009

Terima Kasih Kerana Masih Mengingatiku!

Penahkah anda kehilangan kawan baik? Apa perasaan anda bila kawan baik anda muncul kembali setelah berpuluh- puluh tahun menghilangkan diri? ....Ungkapan yang menggembirakan ... Hai! apa khabar? Kat mana kamu sekarang?, lama tak jumpa? dan diakhiri dengan ...kau tetap diingatanku!. Aku merasa gembira setiap kali aku mengingati ungkapan -ungkapan itu...aku pasti ungkapan yang masuk ke dalam kepala aku dan terakam kemas di dalam kotak ingatan sehingga sekarang adalah realiti dan bukannya mimpi lagi.."Ungkapan yang mengingatkan kembali nostalgia lamaku"...rasanya bukan juga kerana terlalu banyak baca novel ketika remaja dulu... Al maklumlah, masa sekolah dulu...kalau suruh aku pilih..memang aku pilih novel cinta untuk dibaca....dibandingkan dengan buku akademik. Wahai! teman terima kasih kerana masih mengingatiku!..

Alam Yang Indah

Suatu hari tatkala aku menghabiskan cutiku di Genting Highland, aku memang terpesona dengan pemandangan yang aku nampak menerusi "cable car". Hutan menghijau yang ditenggelami kabus tebal. Dalam hatiku tertanya- tanya berapa lama lagikah aku akan berapa dalam kotak empat segi ini? Walaupun aku merasa takut dan tanganku bergetar-getar sempat juga aku tangkap gambar sekeping dua. Alam ciptaan tuhan memang indah ..tapi dalam kepalaku tidak terlepas dari bayangan-bayangan ngeri..."Apa kata kalau "cable car" terlepas dari kabelnya? ...Ah tidak dapat aku bayangkan...mungkin..tamatlah riwayatku kat bawah sana..ditengelami alam yang indah. Ini pengalaman pertama kali aku melihat pemandangan dari "cable car" . Bagi mereka yang sudah biasa menaikinya mungkin mereka tidak merasa apa-apa ...

Saturday, July 11, 2009

Itukah Perasaan?





Gitar gergasi..
Bunyinya indah di kala sempurna..
Sebaliknya...
Bunyinya tidak menentu bila kelonggaran tali..

Begitulah juga dengan perasaan manusia
adakalanya indah, adakalanya tidak..
berubah mengikut musim....
musim kering...tak berdaun, tak berbunga, tak berbuah ..
terbiar kekeringan dipanah pancaran panas matahari..

Air mata berleraian..
kesabaran menemani diri..
berani dan tak berganjak lari...
namun tak mampu melawan nasib sendiri..

Biar musim berlalu..
Biar perit, biar derita berlalu...
Selagi nyawa dikandung badan...
Ketabahan akan terus dikukuhkan..
















Sunday, July 5, 2009

Betulkah Rezeki Ada Di Mana-Mana?

Pernahkah anda merungut tentang nasib anda? Mungkin megeluh kerana kepenatan, hilang semangat, hilang pekerjaan dan sebagainya. Bagi yang tabah mereka dapat menerima kenyataan dengan cepat walau apa pun yang berlaku.

Ketika aku leka menghirup udara segar di taman berhampiran, tiba-tiba aku terdengar jeritan rezeki! rezeki!, dari kawasan berhampiran. Aku berjalan ke arah suara yang sayup-sayup kedengaran itu untuk mengetahui apa yang terjadi sebenarnya. Di sana aku nampak pemunggut besi buruk sedang berlari-lari ke arah tilam lusuh yang dibuang di tepi tempat buangan sampah. Senyuman lebar terpancar dari wajahnya yang lesu. Dikoyaknya tilam itu lapis demi lapis sehinggalah nampak sasaran di dalamnya. Aku fikir mungkin besi buruk itulah yang akan menjadi sumber rezekinya setelah seharian penat ke sana ke mari. Walaupun, tilam buruk dianggap sampah di mata orang lain, tetapi di matanya adalah sumber rezeki. Baginya dia tidak peduli apa orang lain kata atau pandang, yang penting kerja itu adalah kerja halal.

Andaikata kita pandang jauh ke luar sana, masih ramai yang berada dalam kemiskinan. Ada yang masih ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ di tengah-tengah kota yang serba moden ini. Jadi, jika kita rasa diri kita susah, kita mesti ingat masih ada yang lebih susah hidup mereka daripada hidup kita. Jadi, kita tidak harus patah semangat untuk meneruskan hidup ini . Rezeki ada di mana-mana asalkan kita tidak terlalu memilih dan sanggup melakukannya.

Sunday, June 21, 2009

Apakah itu kegembiraan sebenar?


Kegembiraan dan penderitaan seseorang tidak dapat dipisahkan dan tidak hairanlah jika kita sering dengar di mana ada penderitaan di situ ada kegembiraan. Pernahkah anda tanya diri sendiri di manakah letaknya kegembiraan sebenar anda?

Di sini aku ingin berkongsi kegembiraan sebenar aku dengan sesesiapa sahaja yang menziarahi blog ini. Bagi aku kegembiraan sebenar aku adalah apabila melihat orang lain gembira. Berdasarkan pengalaman aku sikap memberi boleh membuatkan seseorang gembira . Sikap memberi di sini ialah memberi kepada yang memerlukan seperti menderma kepada rumah-rumah anak yatim, rumah-rumah orang tua dan sesiapa sahaja yang memerlukannya. Pendermaan boleh didermakan dalam bentuk kewangan ataupun barangan. Nilai berapa tidak penting, yang penting adalah keikhlasan kita untuk menderma. Jika kita menderma dengan penuh keikhlasan kita akan merasa puas dan gembira. Bagi penerima, mereka juga berasa gembira kerana mereka merasakan diri mereka masih disayangi dan dihargai.

Wajah comel anak-anak yatim yang kurang bernasib baik masih terbayang-bayang di kepalaku ketika aku dan kawan-kawan aku berkunjung ke rumah anak yatim ketika dulu. Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak ini walaupun mereka dalam keadaan serba kekurangan. Aku tertanya-tanya di manakah ibubapa mereka?. Mungkinkah ibu bapa mereka tidak mampu untuk menjaga mereka disebabkan oleh kesempitan hidup? Banyak lagi persoalan yang timbul di fikiranku tetapi yang pasti bukan semua yang lahir ke dunia ini bernasib baik. Bagi yang bernasib baik tidak salahnya jika kita berkongsi kegembiraan dengan yang memerlukan.

Ketika berkunjung ke rumah orang tua ketika dulu juga aku dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah mereka. Mungkin juga kegembiraan terpancar kerana mereka dapat mengurangkan kerinduan terhadap anak cucu mereka. Aku juga tertanya-tanya di manakah anak-anak mereka? Mengapakah mereka sanggup meninggalkan orang tua di situ bertahun-tahun tanpa kujungan? Memang tidak dinafikan ada segelintir orang tua yang lebih suka tinggal di rumah orang tua demi tidak ingin menyusahkan anak-anak mereka dan juga untuk mendapatkan teman untuk berkongsi cerita dikala kesunyian.

Aku merasakan menyumbangkan kepada yang memerlukan tidak semestinya terikat kepada ahli keluarga sendiri sahaja. Apa yang penting ialah keikhlasan untuk menderma, walaupun kepada pengemis-pengemis di pasar malam sekalipun. Pengemis benar atau palsu aku tidak tahu tapi pandai-pandailah kita menilainya.

Saturday, June 13, 2009

Batas-Batas Persahabatan

Adakah masih kita ingat semenjak bilakah dunia persahabatan kita bermula?. Setahu aku, waktu bermulanya dunia persahabatan bagi seseorang tidak sama. Ada yang dunia persahabatannya bermula dari zaman kanak - kanak dan ada yang bermula apabila menjejak alam dewasa.

Dunia persahabatan di zaman kanak- kanak begitu indah. Persahabatan yang lahir dari hati yang tulus dan ikhlas tanpa apa-apa muslihat. Bermula dari zaman kanak-kanak jugalah lahirnya impian masing-masing . Sikap semulajadi kanak-kanak tidak terlepas dari sikap ingin tahu dan suka bertanya apa itu dan apa ini. Adakalanya mereka memandang sesuatu tanpa apa-apa perasaan. Di zaman kanak-kanak jika kita berkongsi sesuatu dengan kawan kita biasanya kita akan berkongsi dengan penuh keikhlasan tidak kira berkongsi barang permainan, berkongsi cerita, dan sebagainya.Adakalanya kita bertanya sesama sendiri bilakah kita akan menjadi seorang dewasa?. Adakalanya kita berlakon dan bercakap sesama sendiri dengan melakonkan pelbagai watak seperti watak ayah, ibu ,abang, adik dan sebagainya. Pada zaman kanak-kanak, perasaan kita juga lebih kurang sama contohnya semasa belajar di kelas tadika, kita mempunyai perasaan tidak sabar untuk ke sekolah rendah.

Apabila meningkat dewasa dunia persahabatan di zaman kanak-kanak kadang-kadang telah berubah mengikut masa dan keadaan. Jadi tidak hairanlah, jika mereka berfikir alangkah baiknya jika dapat balik ke alam kanak-kanak semula. Sebagai seorang yang matang, kita mesti tahu batas-batas dalam persahabatan. Sikap tidak perduli dan tidak peka dengan batas-batas persahabatan sering menimbulkan masalah kepada keluarga dan juga persahabatan itu sendiri. Jadi tidak hairanlah jika diakhir-akhir ini kita sering dipaparkan dengan kisah-kisah perselisihan faham yang membawa kepada keruntuhan rumahtangga hasil dari terlanggarnya batas-batas persahabatan.

Pernahkan anda mempunyai seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka? Tidak ada salahnya jika kita mempunyai seseorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka. Kita tidak akan berasa bersendirian, disaat-saat kita memerlukan seseorang. Dalam persahabatan tidak semestinya kita mempunyai persamaan dari semua segi, kadang-kadang ketidaksamaan antara satu sama lain boleh membuatkan keduanya saling menyayanyi dan rapat antara satu sama lain. Batas-batas persahabatan tidak akan memusnahkan dunia persahabatan yang telah lama terjalin atau baru terjalin. Malahan batas-batas persahabatan akan mengekalkan jalinan persahabatan hingga ke akhir hayat.

Pengalaman suka dan duka seseorang dalam persahabatan akan tercatat dalam diri masing-masing setelah melalui perjalanan hidup dari alam kanak- kanak ke alam dewasa. Memang tidak dinafikan adakalanya seseorang sahabat boleh mendorong seseorang untuk mencapai matlamat hidup. Seseorang sahabat boleh diumpamakan sebagai kompas semulajadi yang menjadi petunjuk arah dan membawa seseorang ke arah matlamat yang diimpikan. Jadi, beringatlah jangan sekali-kali melanggar batas-batas persahabatan dan elakkan dari mengeruhkan keadaan sehingga kawan bertukar jadi lawan..












Saturday, June 6, 2009

Bunga Bukan Sekuntum, Kumbang Bukan Seekor


Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup ke arahku, membuatkan aku kesejukan. Aku berdiri, sambil menikmati keindahan taman yang dah lama aku tak kunjungi. Taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga dan kumbang . Bunga apa atau kumbang apa, jangan tanya aku, satu pun aku tak kenal.

Masih ku ingat, ketika kecil dulu di taman inilah tempat aku bermain sembunyi-sembunyi bersama kawan-kawanku. Bila dewasa, taman ini jugalah tempat aku bercinta dan aku namakan 'Taman Cinta'. Setiap orang yang bercinta pasti mempunyai memori yang indah berkaitan cinta mereka, termasuklah tempat yang pernah dikunjungi. Tambah-tambah lagi, jika ungkapan cinta yang pertama dilafazkan di situ. Bila bercakap pasal cinta, ada cinta yang termakbul dan ada juga cinta yang kecundang. Di taman cinta, " Bunga bukan sekuntum , Kumbang bukan seekor". Jadi, tidaklah hairanlah jika ada cinta yang kekal dan ada cinta yang beralih arah. Mengekalkan cinta atau mengalihkan cinta, bukanlah kerja yang mudah kerana banyak rintangan dan dugaannya yang tersendiri. Begitu juga jika ingin memiliki kedua-duanya..cinta baru dan cinta lama. Tapi, tidak hairan jika ada orang yang mampu mengekalkan kedua-duanya.

Pada pemerhatian aku, rasanya tidak ramai perempuan yang sanggup berkongsi kekasih atau suami dengan orang lain. Jadi, andainya dia tahu kekasihnya dah berpunya, mesti cepat-cepat dia tarik diri, tapi hanya mampu tarik diri tapi tak mampu tarik hati dan perasaan. Inilah, kelemahan yang dimiliki oleh kebanyakan insan bergelar perempuan. Adakalanya, sesuatu peristiwa itu disimpan terlalu lama sampai boleh jadi harta karun. Lainlah dengan lelaki, mereka tidak suka memendam perasaan dan mudah menerima kenyataan. Aku, bangga dengan lelaki yang sebegini..








Saturday, May 30, 2009

Nafsu...Kalah Menang Di Tangan Anda!



Malam ini cuaca sangat panas..sambil aku kipas- kipaskan badanku yang kepanasan ini, tiba-tiba timbul satu persoalan di dalam hatiku. Apakah kemenangan dan kekalahan terbesar bagi seseorang yang bergelar insan? Kemenangan dan kekalahan yang tidak dapat di lihat dengar kaca mata…tapi hanya dapat dilihat dengan kaca hati. Pada pandangan aku, kemenangan terbesar bagi seorang ialah apabila seseorang itu berjaya mengalahkan hawa nafsunya sendiri dan sebaliknya kekalahan tersebesar baginya jika ia kalah pada nafsu sendiri.

Kita juga sering dengar kata- kata hikmat seperti berikut “Musuh utama manusia ialah nafsu diri. Barang siapa mampu menewaskan nafsu diri, dialah pahlawan ulung yang tiada tandingannya.”

Setiap orang mempunyai nafsu. Nafsu, sering membawa kepada penderitaan jika kita kalah kepadanya. Begitulah sebaliknya jika kita menang kepada nafsu kita sendiri, kita akan rasa gembira dan syaitan pun boleh sujud dekat kita. Jadi, tidaklah hairanlah jika kita sering dengar cerita tentang pergaduhan, perceraian, curang, dan sebagainya. Kawanku ada menceritakan padaku..seorang suami sanggup melukakan hati isterinya kerana hawa nafsu, perasaan kecil hati isteri terhadap suaminya juga berpunca daripada hawa nafsu. Begitu juga seseorang gadis yang mencintai suami atau kekasih orang lain juga disebabkan hawa nafsu. Jadi, sesimpulannya, tidak seorang pun boleh lari dari hawa nafsu.

Sanggupkah anda membiarkan hawa nafsu menguasai diri? Andainya, anda sedar, hawa nafsu sudah menguasai diri, bagaimana anda megalahkannya? Aku, percaya setiap orang ada cara tersendiri untuk mengalahkan hawa nafsu. Bagi aku, sudah lama aku kalahkan hawa nafsu..kini aku rasa tenang dan gembira..harap anda juga begitu..

Sunday, May 24, 2009

Jangan aku dikecewa lagi!





Masa aku balik dari tempat kerja, kadang-kadang sempat juga aku berkhayal . Aku betul-betul tidak faham kenapa mesti berkhayal semasa memandu. Adakah benda yang bermain di dalam kepala otakku lebih berharga daripada nyawaku sendiri dan nyawa orang lain? Kadang-kadang aku hanya sedar apabila ada kenderaan lain memotong di hadapan ku sambil menbunyikan hon.. pon ..pon..pon..

Apa yang dikhayalkan? Aku juga manusia biasa yang tidak boleh lari daripada perasaan cinta dan mencintai. Cinta yang membawa kekecewaan...ah perkara yang bertahun- tahun berlaku kenapa ia kembali segar di dalam fikiranku.

Aku sedar, peristiwa itu betul-betul menikam hatiku. Ya, masih aku ingat ..hari perpisahan...perpisahan antara aku dan dia setelah sekian lama bercinta. Walaupun, bertahun-tahun telah berlalu, kata-kata hikmat yang keluar dari mulutnya masih segar dalam ingatanku. Selamat Tinggal Sayang!,
‘Kuatkan semangatmu, Hidup mesti diteruskan juga’. Mendengar ungkapan itu, membuatkan air mataku mengalir laju ..setelah sekian lama berkenalan...aku tanya kenapa?...dia diam...dan sampai kini, aku tidak tahu jawapannya....yang pasti, kini aku tidak memerlukan jawapan itu lagi.

Bertahun-tahun aku cuba mengubati hati yang luka. Aku cuma berharap, aku tidak akan dilukai lagi. Andainya ia berlaku, bagaimanakah perasaanku? Adakah aku akan setabah dulu? Sering ku dengar, biasanya luka yang kedua lebih parah daripada luka yang pertama..Tapi andainya ia berlaku, akan ku tabahkan hati ini kerana di dunia ini masih ada banyak tanggungjawab yang perlukan dilaksanakan. Hidup bukan untuk bercinta sahaja...

Monday, May 18, 2009

Happy Birthday


‘Happy Birthday’. Ungkapan yang tidak asing lagi kedengaran bila tiba masanya. Ungkapan yang indah bagi insan yang mendengarnya. Esok harijadi ku.Tapi bagi diriku…dah tak kisah jika tidak mendengar ungkapan ini . Jauh disudut hati, alangkah bagusnya jika seseorang yang kita sayang mengucapkan kata- kata indah ini, melalui SMS pun jadilah. Kadang-kadang timbul juga rasa kecil hati, mengapa kalau dengan orang yang baru dikenali diucapkan Happy Birthday, tetapi dengan orang yang sudah berpuluh- puluh tahun kenal tak juga keluar kata–kata ini.

Aku tak patut fikir sebegitu. Benda macam ini bukannya boleh dipaksa. Bukankah sesuatu ungkapan itu perlu keluar dari hati yang tulus dan ikhlas? Aku tak patut melayan perasaan sebegini kerana ia boleh meracuni diriku sendiri.

Oh! Ibu terima kasih ku ucapkan kerana melahirkan ku ke dunia ini walaupun terpaksa bertarung nyawa. Dengar kata, masa melahirkan ku, ibu berbulan bulan kat hospital…aku terfikir mampukah aku balas balik pergorbanan ibu yang sebegitu besar? Oh ibu!, aku berjanji aku akan menjadi anak yang baik dan tidak akan aku lupa akan jasamu.

Happy Birthday, ku ucapkan kepada semua yang lahir pada 19 Mei sama dengan tarikh lahir ku semoga kalian sihat selalu, mendapat apa yang dihayati dan yang penting jangan lupakan jasa ibu.

Berakhirnya Persoalan







Aku mengelamun jauh tatkala melemparkan pandangan ke luar tingkap. Di luar sana, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Suara riuh-rendah kedengaran dari kawasan pasar malam berhampiran. Masing-masing dengan kekereatifan tersendiri untuk menarik pelanggan. Tidak asing bagi aku jika kedengaran…’lai lai lai moi’ ‘lai lai lai moi’ mungkin sama erti dengan ‘mari moi.. mari moi’ dan ini membuatkan semyumanku terukir sendiri.

Dalam keasyikan itu, tiba-tiba perasaan aku bertukar menjadi sedih secara mendadak. Air mata ku mengalir laju tanpa henti. Air mata yang telah sekian lama kekeringan. Soalan demi persoalan muncul di dalam kepala otakku. Apa yang aku nampak dan dengar itu adalah jawapannya, tapi aku tak boleh tuduh atau percaya sebarangan. Aku perlukan masa dan bukti. Aku perlu buat analisa. Hal-hal berkaitan dengan perasaan tak boleh gopoh–gapah nanti aku sendiri dianggap bodoh.

Memang betul, kalau kita selalu dengar unggapan ‘ tiada rahsia di dunia ini’. Akhirnya, aku dapat tahu rahsia itu. Aku betul-betul kecewa . Tapi apakan dayaku.semua ini betul-betul di luar kawalanku dan aku juga tak nak salahkan sesiapa. Aku kena ambil masa untuk menelan semua ini. Fikiranku terhenti sejenak. Air mataku, meluncur laju. Aku cubit lengan ku berulang kali untuk sedarkan diriku dari mimpi buruk. Aku pasrah dan serah segala- galanya kepada yang berkuasa. Aku kuatkan semangatku dan teruskan hidupku seperti biasa…sebab hidup manusia begitu singkat. Apa yang penting, kita perlu belajar dari kesilapan dan saling bermaaf-maafan.

Wahai! teman di luar sana, buktikanlah kasih sayang mu, selagi kamu berkesempatan tidak kira kepada ibu bapa, saudara, kekasih, suami, isteri ,kawan dan sesiapa saja. Berfikir dan hindarilah, perbuatan yang boleh melukai sesama sendiri kerana luka dihati sukar diubati…sebab ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.