Sunday, June 21, 2009

Apakah itu kegembiraan sebenar?


Kegembiraan dan penderitaan seseorang tidak dapat dipisahkan dan tidak hairanlah jika kita sering dengar di mana ada penderitaan di situ ada kegembiraan. Pernahkah anda tanya diri sendiri di manakah letaknya kegembiraan sebenar anda?

Di sini aku ingin berkongsi kegembiraan sebenar aku dengan sesesiapa sahaja yang menziarahi blog ini. Bagi aku kegembiraan sebenar aku adalah apabila melihat orang lain gembira. Berdasarkan pengalaman aku sikap memberi boleh membuatkan seseorang gembira . Sikap memberi di sini ialah memberi kepada yang memerlukan seperti menderma kepada rumah-rumah anak yatim, rumah-rumah orang tua dan sesiapa sahaja yang memerlukannya. Pendermaan boleh didermakan dalam bentuk kewangan ataupun barangan. Nilai berapa tidak penting, yang penting adalah keikhlasan kita untuk menderma. Jika kita menderma dengan penuh keikhlasan kita akan merasa puas dan gembira. Bagi penerima, mereka juga berasa gembira kerana mereka merasakan diri mereka masih disayangi dan dihargai.

Wajah comel anak-anak yatim yang kurang bernasib baik masih terbayang-bayang di kepalaku ketika aku dan kawan-kawan aku berkunjung ke rumah anak yatim ketika dulu. Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak ini walaupun mereka dalam keadaan serba kekurangan. Aku tertanya-tanya di manakah ibubapa mereka?. Mungkinkah ibu bapa mereka tidak mampu untuk menjaga mereka disebabkan oleh kesempitan hidup? Banyak lagi persoalan yang timbul di fikiranku tetapi yang pasti bukan semua yang lahir ke dunia ini bernasib baik. Bagi yang bernasib baik tidak salahnya jika kita berkongsi kegembiraan dengan yang memerlukan.

Ketika berkunjung ke rumah orang tua ketika dulu juga aku dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah mereka. Mungkin juga kegembiraan terpancar kerana mereka dapat mengurangkan kerinduan terhadap anak cucu mereka. Aku juga tertanya-tanya di manakah anak-anak mereka? Mengapakah mereka sanggup meninggalkan orang tua di situ bertahun-tahun tanpa kujungan? Memang tidak dinafikan ada segelintir orang tua yang lebih suka tinggal di rumah orang tua demi tidak ingin menyusahkan anak-anak mereka dan juga untuk mendapatkan teman untuk berkongsi cerita dikala kesunyian.

Aku merasakan menyumbangkan kepada yang memerlukan tidak semestinya terikat kepada ahli keluarga sendiri sahaja. Apa yang penting ialah keikhlasan untuk menderma, walaupun kepada pengemis-pengemis di pasar malam sekalipun. Pengemis benar atau palsu aku tidak tahu tapi pandai-pandailah kita menilainya.

No comments: