Sunday, June 21, 2009

Apakah itu kegembiraan sebenar?


Kegembiraan dan penderitaan seseorang tidak dapat dipisahkan dan tidak hairanlah jika kita sering dengar di mana ada penderitaan di situ ada kegembiraan. Pernahkah anda tanya diri sendiri di manakah letaknya kegembiraan sebenar anda?

Di sini aku ingin berkongsi kegembiraan sebenar aku dengan sesesiapa sahaja yang menziarahi blog ini. Bagi aku kegembiraan sebenar aku adalah apabila melihat orang lain gembira. Berdasarkan pengalaman aku sikap memberi boleh membuatkan seseorang gembira . Sikap memberi di sini ialah memberi kepada yang memerlukan seperti menderma kepada rumah-rumah anak yatim, rumah-rumah orang tua dan sesiapa sahaja yang memerlukannya. Pendermaan boleh didermakan dalam bentuk kewangan ataupun barangan. Nilai berapa tidak penting, yang penting adalah keikhlasan kita untuk menderma. Jika kita menderma dengan penuh keikhlasan kita akan merasa puas dan gembira. Bagi penerima, mereka juga berasa gembira kerana mereka merasakan diri mereka masih disayangi dan dihargai.

Wajah comel anak-anak yatim yang kurang bernasib baik masih terbayang-bayang di kepalaku ketika aku dan kawan-kawan aku berkunjung ke rumah anak yatim ketika dulu. Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak ini walaupun mereka dalam keadaan serba kekurangan. Aku tertanya-tanya di manakah ibubapa mereka?. Mungkinkah ibu bapa mereka tidak mampu untuk menjaga mereka disebabkan oleh kesempitan hidup? Banyak lagi persoalan yang timbul di fikiranku tetapi yang pasti bukan semua yang lahir ke dunia ini bernasib baik. Bagi yang bernasib baik tidak salahnya jika kita berkongsi kegembiraan dengan yang memerlukan.

Ketika berkunjung ke rumah orang tua ketika dulu juga aku dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah mereka. Mungkin juga kegembiraan terpancar kerana mereka dapat mengurangkan kerinduan terhadap anak cucu mereka. Aku juga tertanya-tanya di manakah anak-anak mereka? Mengapakah mereka sanggup meninggalkan orang tua di situ bertahun-tahun tanpa kujungan? Memang tidak dinafikan ada segelintir orang tua yang lebih suka tinggal di rumah orang tua demi tidak ingin menyusahkan anak-anak mereka dan juga untuk mendapatkan teman untuk berkongsi cerita dikala kesunyian.

Aku merasakan menyumbangkan kepada yang memerlukan tidak semestinya terikat kepada ahli keluarga sendiri sahaja. Apa yang penting ialah keikhlasan untuk menderma, walaupun kepada pengemis-pengemis di pasar malam sekalipun. Pengemis benar atau palsu aku tidak tahu tapi pandai-pandailah kita menilainya.

Saturday, June 13, 2009

Batas-Batas Persahabatan

Adakah masih kita ingat semenjak bilakah dunia persahabatan kita bermula?. Setahu aku, waktu bermulanya dunia persahabatan bagi seseorang tidak sama. Ada yang dunia persahabatannya bermula dari zaman kanak - kanak dan ada yang bermula apabila menjejak alam dewasa.

Dunia persahabatan di zaman kanak- kanak begitu indah. Persahabatan yang lahir dari hati yang tulus dan ikhlas tanpa apa-apa muslihat. Bermula dari zaman kanak-kanak jugalah lahirnya impian masing-masing . Sikap semulajadi kanak-kanak tidak terlepas dari sikap ingin tahu dan suka bertanya apa itu dan apa ini. Adakalanya mereka memandang sesuatu tanpa apa-apa perasaan. Di zaman kanak-kanak jika kita berkongsi sesuatu dengan kawan kita biasanya kita akan berkongsi dengan penuh keikhlasan tidak kira berkongsi barang permainan, berkongsi cerita, dan sebagainya.Adakalanya kita bertanya sesama sendiri bilakah kita akan menjadi seorang dewasa?. Adakalanya kita berlakon dan bercakap sesama sendiri dengan melakonkan pelbagai watak seperti watak ayah, ibu ,abang, adik dan sebagainya. Pada zaman kanak-kanak, perasaan kita juga lebih kurang sama contohnya semasa belajar di kelas tadika, kita mempunyai perasaan tidak sabar untuk ke sekolah rendah.

Apabila meningkat dewasa dunia persahabatan di zaman kanak-kanak kadang-kadang telah berubah mengikut masa dan keadaan. Jadi tidak hairanlah, jika mereka berfikir alangkah baiknya jika dapat balik ke alam kanak-kanak semula. Sebagai seorang yang matang, kita mesti tahu batas-batas dalam persahabatan. Sikap tidak perduli dan tidak peka dengan batas-batas persahabatan sering menimbulkan masalah kepada keluarga dan juga persahabatan itu sendiri. Jadi tidak hairanlah jika diakhir-akhir ini kita sering dipaparkan dengan kisah-kisah perselisihan faham yang membawa kepada keruntuhan rumahtangga hasil dari terlanggarnya batas-batas persahabatan.

Pernahkan anda mempunyai seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka? Tidak ada salahnya jika kita mempunyai seseorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka. Kita tidak akan berasa bersendirian, disaat-saat kita memerlukan seseorang. Dalam persahabatan tidak semestinya kita mempunyai persamaan dari semua segi, kadang-kadang ketidaksamaan antara satu sama lain boleh membuatkan keduanya saling menyayanyi dan rapat antara satu sama lain. Batas-batas persahabatan tidak akan memusnahkan dunia persahabatan yang telah lama terjalin atau baru terjalin. Malahan batas-batas persahabatan akan mengekalkan jalinan persahabatan hingga ke akhir hayat.

Pengalaman suka dan duka seseorang dalam persahabatan akan tercatat dalam diri masing-masing setelah melalui perjalanan hidup dari alam kanak- kanak ke alam dewasa. Memang tidak dinafikan adakalanya seseorang sahabat boleh mendorong seseorang untuk mencapai matlamat hidup. Seseorang sahabat boleh diumpamakan sebagai kompas semulajadi yang menjadi petunjuk arah dan membawa seseorang ke arah matlamat yang diimpikan. Jadi, beringatlah jangan sekali-kali melanggar batas-batas persahabatan dan elakkan dari mengeruhkan keadaan sehingga kawan bertukar jadi lawan..












Saturday, June 6, 2009

Bunga Bukan Sekuntum, Kumbang Bukan Seekor


Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup ke arahku, membuatkan aku kesejukan. Aku berdiri, sambil menikmati keindahan taman yang dah lama aku tak kunjungi. Taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga dan kumbang . Bunga apa atau kumbang apa, jangan tanya aku, satu pun aku tak kenal.

Masih ku ingat, ketika kecil dulu di taman inilah tempat aku bermain sembunyi-sembunyi bersama kawan-kawanku. Bila dewasa, taman ini jugalah tempat aku bercinta dan aku namakan 'Taman Cinta'. Setiap orang yang bercinta pasti mempunyai memori yang indah berkaitan cinta mereka, termasuklah tempat yang pernah dikunjungi. Tambah-tambah lagi, jika ungkapan cinta yang pertama dilafazkan di situ. Bila bercakap pasal cinta, ada cinta yang termakbul dan ada juga cinta yang kecundang. Di taman cinta, " Bunga bukan sekuntum , Kumbang bukan seekor". Jadi, tidaklah hairanlah jika ada cinta yang kekal dan ada cinta yang beralih arah. Mengekalkan cinta atau mengalihkan cinta, bukanlah kerja yang mudah kerana banyak rintangan dan dugaannya yang tersendiri. Begitu juga jika ingin memiliki kedua-duanya..cinta baru dan cinta lama. Tapi, tidak hairan jika ada orang yang mampu mengekalkan kedua-duanya.

Pada pemerhatian aku, rasanya tidak ramai perempuan yang sanggup berkongsi kekasih atau suami dengan orang lain. Jadi, andainya dia tahu kekasihnya dah berpunya, mesti cepat-cepat dia tarik diri, tapi hanya mampu tarik diri tapi tak mampu tarik hati dan perasaan. Inilah, kelemahan yang dimiliki oleh kebanyakan insan bergelar perempuan. Adakalanya, sesuatu peristiwa itu disimpan terlalu lama sampai boleh jadi harta karun. Lainlah dengan lelaki, mereka tidak suka memendam perasaan dan mudah menerima kenyataan. Aku, bangga dengan lelaki yang sebegini..