Saturday, June 13, 2009

Batas-Batas Persahabatan

Adakah masih kita ingat semenjak bilakah dunia persahabatan kita bermula?. Setahu aku, waktu bermulanya dunia persahabatan bagi seseorang tidak sama. Ada yang dunia persahabatannya bermula dari zaman kanak - kanak dan ada yang bermula apabila menjejak alam dewasa.

Dunia persahabatan di zaman kanak- kanak begitu indah. Persahabatan yang lahir dari hati yang tulus dan ikhlas tanpa apa-apa muslihat. Bermula dari zaman kanak-kanak jugalah lahirnya impian masing-masing . Sikap semulajadi kanak-kanak tidak terlepas dari sikap ingin tahu dan suka bertanya apa itu dan apa ini. Adakalanya mereka memandang sesuatu tanpa apa-apa perasaan. Di zaman kanak-kanak jika kita berkongsi sesuatu dengan kawan kita biasanya kita akan berkongsi dengan penuh keikhlasan tidak kira berkongsi barang permainan, berkongsi cerita, dan sebagainya.Adakalanya kita bertanya sesama sendiri bilakah kita akan menjadi seorang dewasa?. Adakalanya kita berlakon dan bercakap sesama sendiri dengan melakonkan pelbagai watak seperti watak ayah, ibu ,abang, adik dan sebagainya. Pada zaman kanak-kanak, perasaan kita juga lebih kurang sama contohnya semasa belajar di kelas tadika, kita mempunyai perasaan tidak sabar untuk ke sekolah rendah.

Apabila meningkat dewasa dunia persahabatan di zaman kanak-kanak kadang-kadang telah berubah mengikut masa dan keadaan. Jadi tidak hairanlah, jika mereka berfikir alangkah baiknya jika dapat balik ke alam kanak-kanak semula. Sebagai seorang yang matang, kita mesti tahu batas-batas dalam persahabatan. Sikap tidak perduli dan tidak peka dengan batas-batas persahabatan sering menimbulkan masalah kepada keluarga dan juga persahabatan itu sendiri. Jadi tidak hairanlah jika diakhir-akhir ini kita sering dipaparkan dengan kisah-kisah perselisihan faham yang membawa kepada keruntuhan rumahtangga hasil dari terlanggarnya batas-batas persahabatan.

Pernahkan anda mempunyai seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka? Tidak ada salahnya jika kita mempunyai seseorang sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka. Kita tidak akan berasa bersendirian, disaat-saat kita memerlukan seseorang. Dalam persahabatan tidak semestinya kita mempunyai persamaan dari semua segi, kadang-kadang ketidaksamaan antara satu sama lain boleh membuatkan keduanya saling menyayanyi dan rapat antara satu sama lain. Batas-batas persahabatan tidak akan memusnahkan dunia persahabatan yang telah lama terjalin atau baru terjalin. Malahan batas-batas persahabatan akan mengekalkan jalinan persahabatan hingga ke akhir hayat.

Pengalaman suka dan duka seseorang dalam persahabatan akan tercatat dalam diri masing-masing setelah melalui perjalanan hidup dari alam kanak- kanak ke alam dewasa. Memang tidak dinafikan adakalanya seseorang sahabat boleh mendorong seseorang untuk mencapai matlamat hidup. Seseorang sahabat boleh diumpamakan sebagai kompas semulajadi yang menjadi petunjuk arah dan membawa seseorang ke arah matlamat yang diimpikan. Jadi, beringatlah jangan sekali-kali melanggar batas-batas persahabatan dan elakkan dari mengeruhkan keadaan sehingga kawan bertukar jadi lawan..












No comments: