Saturday, July 24, 2010

Pengalaman Di Pesta Flora

Pada hari Ahad yang lepas , aku mengambil kesempatan mengunjungi Pesta Flora dekat Putrajaya . Pelbagai jenis bunga, ada bunga Orkid, bunga Mawar dan macam-macam lagi. Walaupun hujan renyai-renyai, masih ramai yang berkunjung ke sama termasuklah aku.

Ini pengalaman pertama aku di Pesta Flora. Banyak hasil seni dipamirkan, ada hiasan dinding, binatang rekaan dan yang paling aku suka ialah fesyen. Semua rekaan adalah hasil gabungan bunga kering dan juga bunga segar. Memang cantik.

Aku kagum melihat hasil rekaan yang dipamirkan di sana. Maklumlah aku juga salah seorang peminat seni walaupun tidak bergiat dalam seni. Sempat juga aku mengambil kesempatan untuk bergambar dengan patung berhias.

Keluar dari dewan pameran aku berkunjung ke tempat orang menjual pokok-pokok bunga . Ada bunga Orkid, bunga Mawar dan pelbagai lagi. Bunga Orkid dengan pelbagai jenis nama. Aku tidak kisah sangat dengan nama-nama tersebut sebab aku cuma ingin menikmati keindahannya sahaja. Semuanya cantik-cantik. Teringin juga aku memiliki bunga-bunga itu tetapi biarlah bunga- bunga itu kekal di tempat asalnya. Jadi, cukuplah sekadar tengok dari jauh.

Setelah penat berjalan, perut aku terasa lapar. Aku mengambil kesempatan untuk mencuba makanan di gerai berhampiran. Memang ramai orang dekat sana. Lama juga aku tunggu sebelum dapat tempat duduk. Makanannya tidak sedap, bolehlah dikatakan tidak berbaloi dengan masa yang dihabiskan untuk mendapatkan tempat duduk .

Sebelum balik, aku berkunjung ke gerai menjual buah-buahan tempatan. Penjualnya peramah, katanya “ kakak makan dulu, tak manis jangan beli”, “tak kenyang jangan balik”. Aku tersenyum, sempat juga aku beli buah duku sebelum balik.

Saturday, July 17, 2010

Selera Timur Selera Aku

Hari ini timbul idea aku nak masak sendiri. Setiap kali nak masak, mesti timbul soalan “Aku nak masak apa hari ini?". Kadang- kadang soalan sebegini, buat aku susah juga, tetapi tak apa, aku sendiri tanya aku sendiri jawab. Jawapannya senang, aku masak apa yang aku rasa nak makan. Aku senyum sendiri.

Pagi tadi aku bergegas ke kedai membeli ikan kembung, kacang bendi dan petai. Sampai di rumah aku singgang ikan dengan kacang bendi. Petai aku rebus. Satu lagi makanan kegemaranku ialah budu. Petai cicah budu. Bunyi macam sedap dan memang sedap seperti dijangka,kalau tak percaya,cubalah sendiri.

Hari ini aku tidak perlu makan dekat luar. Memang jenuh kalau asyik makan dekat luar setiap hari. Kadang- kadang makan makanan masakan sendiri pun bagus juga. Kita boleh pilih untuk memasak makanan yang tidak perlu guna minyak. Bagus untuk kesihatan.

Di kampung ketika dulu, emak aku yang tolong masakkan . Di kota aku kena masak sendiri. Pada mulanya tak berapa sedap tetapi lama-lama sedap juga.

Saturday, February 20, 2010

Keindahan Taman Rimba

Di mana ada taman rimba, di situ ada aku. Aku dan alam memang tidak dapat dipisahkan. Huh! alam adalah teman setiaku.

Begitu jugalah dengan pasangan bercinta, tentulah berasa tidak sempurna percintaan mereka seandainya terpisah antara satu sama lain. Namun itu bukan halangannya. Si Jejaka boleh menghadiahi kekasihnya sekumtum bunga atau sejambak bunga tatkala berjauhan. Si dara pasti berasa dihargai apabila dihadiahi bunga oleh orang yang dicintainya. Pasti direnjis dan diciumnya bunga itu agar tidak mudah layu. Betapa romantiknya.

Aku cuma mengambarkan perasaan mereka yang bercinta. Selain bercinta dengan alam, aku juga suka melihat orang bercinta.

Ketika keseorangan dan kebosanan aku akan mencari tempat yang ada hutan dan sungai. Aku mencari kecantikan, keindahan dan kelembutan alam. Dan dari celah-celah taman rimba yang aku kunjungi ini , aku mendapat ketenangan, kelapangan dan kesegaran jiwa.

Itulah seorang aku yang masih ramai tidak mengerti.

Saturday, January 23, 2010

Bunga Buat Sahabat

Siang, petang dan malam, hatiku merintih sendirian ketika dulu. Aku tarik nafas panjang-panjang untuk melegakannya. Sering aku bertanya di manakah kau sahabat?. Kaulah satu-satunya sahabat antara sahabat yang paling ku rapat.


Suatu hari badai melanda, aku tidak dapat lari dari ketentuan yang diperuntukan buatku untuk berpisah dengan sahabat kesayanganku. Huh! mula-mula memang aku sebak menahan keperitan sebegini tetapi lama kelamaan aku dapat menerima keadaan itu dengan reda. Setiap kali aku mengenangkannya akan aku tatap sisa gambar yang masih dalam simpananku.


Kini dengan ketentuan yang diperuntukan buatku juga aku telah dipertemukan semula dengannya. Masa telah mematangkan aku. Kini aku lebih memahami erti sebuah kehidupan dalam dunia sahabat. Kegembiraan yang ada pada hari ini dan hari-hari seterusnya adalah untuk dikongsi bersama kerana kaulah sahabatku.









Sunday, January 3, 2010

Andai Itu Hakikatnya

Berlatihlah menerima sesuatu kenyataan walaupun ia sukar diterima. Kenyataan tetap kenyataan dan sememangnya ia tidak dapat diubah dan yang boleh diubah hanyalah perasaan kita terhadap sesuatu kenyataan tersebut.